Saturday, December 15, 2007

V. Ganabathirau - Elizabeth Wong



Lambaian pilu dari V. Ganabathirau, gambar dari Tony Pua, Penasihat Ekonomi DAP dan juga Ketua DAP cawangan Damansara.

Ganabathi tidak mungkin melihat anaknya yang berumur 4 bulan, membesar dengan penuh kasih sayang seorang bapa, akibat kezaliman Abdullah Badawi dan UMNO.

Berikut adalah terjemahan daripada catatan Tony Pua yang juga boleh didapati diblog Elizabeth Wong.

Anda mungkin sudah membaca New Straits Times semalam mengenai Gana seorang ahli DAP. Apa yang menyebabkan episode malang ini begitu dekat dihati saya adalah: Gana merupakan ahli DAP bagi cawangan Damansara, dimana saya merupakan Pengerusi. Gana menyertai kami pada bulan March tahun ini, dan seterusnya membantu kami menubuhkan cawangan Taman Muda diShah Alam dimana dia merupakan Penasihat.

Setelah mengenalinya selama lebih kurang 8 bulan dulu, saya tidak boleh mengatakan saya tahu semuanya. Tetapi ada banyak perkara yang melambangkan kemurniannya yang saya kongsi bersama.

Gana bukanlah seorang rasis. Dia juga bukanlah seorang fanatik ugama dan tidak mungkin seorang pengganas seperti yang digambarkan. Setelah mengenalinya beberapa bulan dulu, sifatnya adalah bertentangan dengan apa yang cuba digambarkan oleh pemerintahan Pak Lah melalui media.

Gana adalah rakyat Malaysia sejati, yang percaya bahawa semua rakyat Malaysia, tanpa mengenal kaum, mempunyai hak yang sama untuk berjaya. Walaupun setengahnya mungkin mengatakan bahawa Hindraf sepatutnya memperlihatkan diri mereka supaya lebih bersifat berbilang kaum, tidak ada rakyat Malaysia yang waras dapat menafikan bahawa sebilangan besar orang-orang India dinegara ini telah dipinggirkan dan hidup dibawah ataupun hampir dengan garis kemiskinan.

Melihat cara politik Malaysia hari ini, adalah tidak mengejutkan apabila kaum India terpaksa bangkit dan bersuara. Mereka sebenarnya tidak akan kehilangan apa-apa.

Setengah orang mungkin mengatakan saya mampu untuk memberikan masa kepada politik kerana saya mempunyai wang selepas menjual syarikat saya. Tetapi bagi Gana, walaupun baru saja memulakan firma perundangannya, terpaksa berulang alik (sekurangnya seminggu sekali) diantara Teluk Intan (kampong halamannya) dan Shah Alam dimana mereka tinggal sekarang, untuk memberikan khidmatnya kepada mereka yang memerlukan bantuan dan kurang bernasib baik. Malah dia telah menyewa dan menyediakan kelengkapan pusat khidmat diTeluk Intan dengan duitnya sendiri, untuk meneruskan usahanya.

Apabila saya menerima kes-kes dipusat khidmat saya sendiri diDamansara Utama, dan memerlukan bantuan guaman untuk membantu mereka yang mengadu, Gana menawarkan diri tanpa diminta. Sebagai contoh, terdapat satu kumpulan seramai 7 orang kontraktor yang gagal mendapat bayaran daripada pemaju perumahan, Gana terus membantu mereka dan memberikan khidmat nasihat secara sukarela. Apabila tindakan undang-undang diperlukan saya terpaksa meyakinkannya untuk menerima pembayaran daripada kontraktor ini.

Fikirkan, kesemua kontraktor ini terdiri dari orang-orang Cina tetapi, bangsa, seperti yang selalu diperkatakan oleh sebilangan besar rakyat Malaysia, tidak pernah terlintas olehnya.

Gana, adik bongsu dikalangan 3 beradik. Keluarga mana pun akan merasa bangga sekiranya mempunyai anak sepertinya. Keluarganya dari masyarakat India Telugu dan membesar dalam keadaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Gana tidak mempunyai peluang untuk menamatkan pelajarannya seperti orang lain. Selepas menamatkan Tingkatan 5, dia terpaksa bekerja sambilan untuk membantu keluarga dan dirinya.

Begitupun, itu tidak menghalangnya untuk berjimat dan mengambil kursus-kursus separuh masa untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang pegawai kehakiman. Impiannya menjadi kenyataan ketika beliau berusia lewat dua puluhan apabila beliau berjaya mendapat ijazah undang-undang melalui program jarak jauh University of London. Dia memulakan tugasnya sebagai pembantu undang-undang dengan sebuah firma guaman diTeluk Intan sehinggalah beliau mampu menubuhkan firmanya sendiri selepas berpindah ke Shah Alam tahun lepas.

Selama ini, beliau mempunyai cita-cita politik, bukan bercita-cita untuk mencari kekayaan diri secara haram ataupun tidak beretika, tetapi cita-cita untuk membantu memainkan peranan demi kemajuan masyarakatnya yang terpinggir khasnya, dan keseluruhan rakyat Malaysia amnya. Setelah menubuhkan firmanya sendiri, untuk kebaikan atau sebaliknya, dia mampu memberi masa kepada isu-isu politik dan sosial. Dan dia melakukannya dengan sepenuh hati dan kerelaan.

Gana berkahwin tidak lama dulu dengan seorang guru sekolah. Dan pada Hari Merdeka yang lalu, anaknya yang pertama telah dilahirkan, sekarang berumur tidak sampai 4 bulan. Jika Pak Lah meneruskan caranya, sementara Gana dibebaskan dari tahanan ISA, anaknya akan berumur lebih dua tahun. Bila Gana pertama kali menunjukkan isterinya yang berada dimahkamah kepada saya ketika dia didakwa dengan tuduhan menghasut dimahkamah syesen Kelang, anda akan dapat melihat air matanya dengan jelas. Segala kerisauannya, malangnya menjadi kenyataan.

Gana memberitahu saya, isterinya pernah menjadi pendebat disekolah satu ketika dulu, dan seorang yang amat peka dengan politik. Sebenarnya, beberapa tahun dulu, isterinya pernah memperlinya mengatakan bahawa Gana hanya pandai bercakap tentang politik, tetapi tidak mahu melibatkan diri.Walaubagaimanapun, baru-baru ini secara separuh bergurau, isterinya pernah berkata bahawa dia menyesal kerana menggalakkan suaminnya berjuang untuk kebaikan.

Gana merupakan lelaki yang baik. Dia sanggup berkorban untuk membantu membina Malaysia yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia, terutamanya untuk masyarakat yang terpinggir dan tertindas. Dia mencipta nama melalui ketabahan, usaha, kepetahan dan kesungguhan terhadap sesuatu isu. 30,000 orang-orang India dari segenap pelusuk Malaysia turun kejalanraya Kuala Lumpur bukan kerana mereka tidak mempunyai perkara lain untuk dilakukan, tetapi mereka percaya, penindasan ini perlu dihentikan.

Untuk itu, Pak Lah yang tidak berupaya untuk mendengar, menerima dan berhadapan dengan kebenaran, menggunakan ISA yang zalim dengan harapan dapat menutup segala kelemahannya.

Syukur, Gana mempunyai keluarga yang penyayang dan bermurah hati yang akan membantu menjaga keperluan seorang ibu dan anak kecilnya. Seperti yang diumumkan oleh Setiausaha Agungnya, DAP akan menubuhkan satu tabung untuk membantu keluarga mereka yang ditahan tanpa perbicaraan.

Ketika menulis catatan ini, air mata mula mengalir. Saya sesungguhnya percaya bahawa Gana akan memperolehi lebih kekuatan selepas dibebaskan nanti. Kita mungkin tidak akan mendengar khabar darinya untuk satu jangka waktu tetapi saya mengharapkan dia akan menjadi pemimpin dinegara ini satu masa nanti. Seorang pejuang ulung yang prihatin, bijak dan berdedikasi dalam memberikan sumbangan untuk merealisasikan Malaysia yang lebih baik untuk generasi akan datang. Segala sumbangan dan pengorbanannya jangan harus dipersia-siakan.

No comments: