Datuk Zaid Ibrahim
30 August 2007, The Sun.
Adalah mustahil untuk membuat satu jangkaan yang tepat tentang apakah yang akan berlaku dalam perubahan politik malaaysia dalam masa 50 tahun akan datang kerana keputusan sesuatu perubahan politik itu seringkali menyanggah ramalan. Namun, terdapat suatu aliran yang mempengaruhi corak politik kita.
Budaya politik Melayu yang tertanam sekian lama, terutamanya didalam UMNO, merupakan budaya politik ‘patronage’, dimana orang Melayu akan diberikan perlindungan dan mendapat habuan ekonomi, sebagai balasan kepada ketaatan yang tidak berbelah bagi. Namun, kekuatan undi popular yang diperolehi oleh PAS dalam tiga pilihanraya umum yang lepas menunjukkan sokongan kepada PAS masih kuat. Ini mencerminkan harapan dikalangan orang Melayu, bahawa mereka mahukan nilai-nilai Islam seperti keadilan, kesamaan dan kebertanggungjawaban, tetapi dalam masa yang sama, masih berpegang dengan politik ‘patronage’.
Pendekatan yang dilakukan oleh kepimpinan Pas masa kini terhadap pentadbiran dan mengurangkan tumpuan terhadap ideology, menunjukkan bahwa mereka mengambil jalan tengah untuk berhadapan dengan pengundi-pengundi Islam mereka. Ketika PAS mencuba untuk menghilangkan imej Islam yang ekstrim dan politik retorik untuk meletakkan diri didalam golongan Melayu sederhana, berlainan pula dengan UMNO. Sekiranya UMNO kehilangan sokongan – mungkin bukan dalam masa terdekat ini- kemungkinan besarnya mereka akan menjadi lebih ‘ethno-centric’ dan akan mencuba untuk menjadi jaguh memperjuangkan ‘agenda Islam’. Dimasa akan datang, tidak mustahil sekiranya Pas menjadi seperti UMNO dan UMNO menjadi seperti PAS.
Kita telah mendengar kenyataan berulangkali yang dibuat oleh pemimpin atasan UMNO iaitu Malaysia merupakan Negara Islam. Saya harap, bangsa dan ugama yang telah memusnah dan memecahbelahkan beberapa negara, tidak akan berlaku dinegara kita. Pengagihan kekayaan Negara yang tidak adil berkemungkinan akan menyebabkan tindak balas politik yang negatif.
Keadaan ekonomi di Sabah dan Sarawak memerlukan pendekatan yang amat berhati-hati agar perpaduan yang sedia rapuh ini tidak menjadi lebih teruk. Walaupun kadar kemiskinan secara keseluruhannya berjaya dikurangkan namun jurang diantara suku kaum amat merisaukan. Isu-isu ekonomi akan menjadi perhatian ditahun-tahun akan datang dan penyelesaian secara pemberian berkala perlu digantikan dengan satu perancangan yang tersusun dan penggunaan sumber-sumber yang lebih baik.
Parti-parti yang berteraskan bangsa Cina, dimasa akan datang akan mengambil pendirian yang lebih mendesak dalam permainan politik mereka, tidak seperti sekarang dimana mereka hanya menjadi penonton atau penyumbang. Sebagai tukaran kepada jawatan-jawatan kerajaan, mereka lebih memberikan tumpuan kepada perniagaan dan isu-isu masyarakat. Ini tidak bermakna mereka tidak menyumbag dalam pembangunan Negara.
Walaubagaimanapun, dalam abad-abad akan datang, orang-orang Cina akan menjadi lebih aktif dan mendesak didalam politik. Kekuatan mereka didalam pendidikan, kemampuan mereka untuk mengumpul dana dan kemahiran mereka bererti mereka mempunyai pengaruh yang lebih kuat dan penglibatan mereka didalam membuat keputusan perlu diambil perhatian.
Peningkatan pelaburan luar dari China, Singapura dan kemasukan dana dan pelaburan dari masyarakat Cina akan memberikan tekanan untuk mereka berubah menjadi satu kuasa politik yang perlu diberi perhatian. Masyarakat India juga akan menjadi lebih vocal dan politik mereka akan mendapat lebih keyakinan dengan peningkatan kekuatan ekonomi mereka. Malah kerajaan telah pun menyenaraikan orang-orang India sebagai sasaran yang memerlukan bantuan terutamanya dalam meningkatkan penyertaan mereka dalam sektor korporat. Kemunculan India sebagai kuasa ekonomi dan pelaburan mereka didalam negara ini, akan memberikan kesan terhadap masyarakat India disini. Kita akan menyaksikan pendirian politik yang lebih bertenaga dari masyarakat India diMalaysia.
Ujian sebenar tentang kematangan dan ketahanan parti-parti politk yang berlandaskan kaum diMalaysia hanya akan diketahui masa itu. Sebagai rakankongsi yang dominan, UMNO perlu menyesuai dan memberi ruang terhadap peningkatan desakan dari parti-parti bukan-Melayu. Ketiadaan minat dikalangan generasi muda akan berubah apabila semakin ramai yang mendaftar sebagai pengundi. Dengan meningkatnya pergantungan kepada Internet untuk mendapatkan berita dan maklumat, generasi muda ini akan menjadi lebih berpengetahuan dan penyertaan mereka didalam NGO dan pertubuhan politik akan mengutarakan isu-isu sosio-ekonomi yang terpendam masa kini. Wanita juga akan memainkan peranan yang lebih menyerlah didalam pertubuhan politik dan NGO.
Akhirnya, rakyat mahukan peningkatan kebertanggungjawaban. Secara tidak langsung, satu masyarakat madani akan lahir untuk memerhati kerajaan. Norma-norma politik Malaysia akan berubah, walaupun lebih perlahan daripada apa yang kita harapkan. Susunan politik sedia ada tidak mungkin boleh diubah semudahnya tetapi pertumbuhan pakatan yang mahukan perubahan kepada politik yang berlandaskan bangsa akan meningkat.
Pengejek-pengejek akan terus bertegas mengatakan bahwa rakyat Malaysia akan terus memilih ‘yang sama’, tetapi perubahan didalam institusi kerajaan tidak dapat dielakkan. Kehendak persekitaran perniagaan, yang menentukan perubahan politk dan susunan ekonomi dunia, dan keperluan untuk menjadi lebih effisien dan produktif, menyebabkan sesebuah negara itu perlu menjadi lebih demokratik, lebih bergantung kepada system yang telus dan bukan dengan sistem yang bergantung kepada keihsanan. Kerajaan Barisan Nasional prihatin dan amat memahami perkara-perkara ini. Oleh itu, perubahan perlu dilakukan ataupun berhadapan dengan kemarahan pengundi.
Datuk Zaid Ibrahim adalah seorang peguam dan Ahli Parlimen Barisan Nasional. Beliau menggambarkan dirinya sebagai orang Melayu sebenar dan rakyat Malaysia sebenar.
Zaid Ibrahim merupakan seorang ahli politik yang pragmatik, berfikir secara intelektual dan dapat membezakan yang benar dan salah. Mungkin Zaid tidak mengatakanya dalam artikelnya yang panjang tetapi dia sebenarnya mampu meringkaskan hujahnya dengan mengatakan bahawa, Musuh sebenar UMNO adalah UMNO itu sendiri. Saya juga boleh mengatakan sedemikian terhadap pembangkang juga. Apapun, Zaid telah melakukan istiqamah terhadap apa yang dihadapi oleh partinya, parti pemerintah. Marilah kita lakukan perkara yang sama kepada pembangkang.
Sejak Zaid menulis artikel ini pada Hari Kemerdekaan tahun ini, banyak ramalan yang dibuat telah menjadi kenyataan. Dan semua ini berlaku disekitar bulan lepas. Orang Melayu telah keluar. Orang India telah keluar. Hanya orang Cina yang nampaknya belum keluar.Tetapi orang-orang Cina telah keluar dalam berbagai cara, mungkin kurang kelihatan, dan mereka telah keluar jauh lebih dulu, lama sebelum 10 November yang dianjurkan oleh BERSIH ataupun 25 November yang dianjurkan oleh HINDRAF. Sudah semestinya, seperti ramai yang memperkatakanya, orang-orang Cina tidak akan turun kejalanan seperti rakan mereka dikalangan Melayu dan India. Orang-orang Cina tidak akan mengocak suasana. Mereka tidak akan mempertaruhkan kepentingan perniagaan mereka. Dan seterusnya.
Tetapi, semenjak Abdullah Ahmad Badawi pertama kali mengambil alih sebagai Perdana Menteri, orang-orang Cina sudah mengundi. Dan undi mereka ialah undi tidak percaya terhadap kerajaan Abdullah Badawi. Walaubagaimanapun, mereka bukan mengundi didalam pilihanraya umum. Malah bukan dijalanraya seprti orang-orang melayu dan India. Orang-orang Cina mengundi dengan ‘kaki’. Dan ini dilakukan dengan diam-diam dengan membawa wang mereka keluar dari Malaysia dengan menghantar anak-anak mereka keluar negeri untuk membina kehidupan baru dinegara yang menyediakan kehidupan yang lebih baik dan dimana warna kulit bukan menjadi pengukur sama ada seseorang itu warga Kelas 1, Kelas 2, atau kelas 3.
Kerajaan dengan bangganya mengumumkan angka-angka pelaburan dari luar (FDI). Pengumuman ini sebenarnya berdasarkan janji-janji yang dibuat, bukan kemasukan tunai sebenar. Apa yang tidak diumumkan oleh kerajaan ialah pengaliran modal keluar. Berapa Ringgit yang keluar bagi setiap Ringgit yang masuk? Ini tidak didedahkan oleh kerajaan. Ahli-ahli Parlimen UMNO terus memberitahu orang Cina supaya keluar dari Malaysia kalau mereka tidak suka. Sebenarnya orang-orang Cina sedang melakukan ini semua supaya ahli-ahli Parlimen UMNO ini menutup mulut mereka. Mereka yang meninggalkan Negara ini bukanlah Nelayan Cina dari teluk Intan ataupun petani Cina dari Cameron Highlands.Mereka yang keluar adalah mereka yang mempunyai simpanan bank yang banyak dan wang untuk dibelanjakan.
Sama ada anda suka atau tidak, politik Malaysia dikuasai oleh orang melayu. Orang Cina menguasai ekonomi manakala orang India disifatkan sebagai tidak kemana-mana. Parti pemerintah sentiasa risau dengan ‘Malay swing’ atau pun ‘Chinese swing’. Tiada siapa yang risau tentang ‘Indian swing’ kerana jumlah mereka yang sedikit dan kemungkinan hanya 10% daripada jumlah kerusi mempunyai ‘Indian majority’ – malah kerusi yang disebut ‘majority’ itu pun tidak melebihi 30% daripada jumlah pengundi – dan orang India secara tradisi mengundi parti pemerintah dan jarang kita lihat undi orang India kepada parti pemerintah kurang daripada 90%.
Walaubagaimanapun, sama ada disedari atau tidak,sungguhpun orang-orang India tidak akan merubah apa-apa terhadap suasana politik, mereka mampu memainkan peranan sebagai ‘kingmaker’. Banyak kerusi yang dimenangi dengan hanya 5% majoriti. Bagi kerusi yang dimenangi oleh pembangkang, mereka menang dengan majoriti yang banyak tetapi bagi kerusi yang dimenangi oleh parti pemerintah, ianya dimenangi dengan majoriti yang sedikit. Itulah sebabnya parti pemerintah mampu memenangi 90% kerusi walaupun hanya mendapat 60% daripada undi keseluruhan. Dalam lain perkataan, pembangkang boleh memperolehi setengah daripada undi keseluruhan tetapi ini tidak bermakna mereka memenangi setengah daripada kerusi keseluruhan ataupun mampu menafikan majoriti dua pertiga parti pemerintah.
Pilihanraya akan datang semakin hampir. Tetapi hanya sekitar lapan juta rakyat Malaysia yang akan mengundi.Dalam kemungkinan apa sekalipun, parti pemerintah akan memperolehi sekitar lima juta undi sementara pembangkang akan memperolehi sekitar tiga juta undi. Oleh itu, parti pemerintah memperolehi sekitar dua juta undi majoriti. Ini bermakna, parti pemerintah akan menang dengan sekitar 60% undi atau pun kurang daripada dua pertiga tetapi ia masih mampu memenangi dua pertiga daripada jumlah kerusi dengan selesa. Malah, pada 11 May 1969 apabila parti pemerintah memperolehi hanya 45% undi, ia masih mampu menubuhkan kerajaan, walaupun bukan dengan majoriti dua pertiga.
Untuk menyingkirkan parti pemerintah adalah satu tugas yang hampir mustahil. Untuk menafikan dua pertiga adalah amat susah, walaupun tidak mustahil. Ini sepatutnya menjadi fokus kepada pembangkang dan pengundi sepatutnya diberitahu perkara ini. Pengundi tidak sepatutnya diajak untuk mempercayaai bahawa perancangan sebenarnya adalah untuk menubuhkan kerajaan akan datang. Mereka sepatutnya diberitahu bahawa perancangan sebenarnya adalah meletakkan seberapa ramai wakil kedalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri supaya keangkuhan Barisan Nasional dapat dipatahkan dan kemudian memperkenalkan langkah-langkah pemantauan terhadap pemerintah. Barisan Nasional hanya akan berfikir dua atau tiga kali sebelum melakukan sesuatu sekiranya terdapat 60 Ahli Parlimen dan 200 Ahli Dewan Undangan Negeri yang menjadi mata, telinga dan mulut kepada pengundi. Kalau tidak, pengundi akan memprotes dijalanraya lagi supaya suara mereka didengar.
Walaubagaimana pun, adalah malang, tiga juta pengundi berdaftar tidak akan keluar mengundi. Lagi empat juta pengundi yang layak tidak mendaftar sebagai pengundi. Jadi, tujuh juta rakyat Malaysia yang layak dan sepatutnya mengundi, tidak mengundi.dan tiga juta akan mengundi pembangkang manakala lima juta akan mengundi parti pemerintah. Inilah kebenaran yang menyakitkan didalam pilihanraya Malaysia. Hanya 20% daripada rakyat Malaysia atau satu pertiga daripada pengundi yang layak, mengundi parti pemerintah. Tetapi 20% atau satu pertiga ini sudah cukup untuk memberikan parti pemerintah majoriti dua pertiga yang selesa didalam Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.
51% daripada rakyat Malaysia adalah wanita. 52% daripada pengundi berdaftar adalah wanita. 53% daripada yang mengundi adalah wanita. Disinilah rahsia segal-galanya.Wanita adalah satu kuasa yang perlu diiktiraf. Dan wanita tidak sekorup lelaki.Lelaki boleh dibeli. Dengan jumlah yang sesuai, undi lelaki boleh berubah dihari mengundi. Tetapi bagi wanita, sekali mereka membuat keputusan siapa yang akan mereka undi, ia tidak berubah. Jarang sekali keputusan wanita itu boleh diubah dengan wang. Ya, wanita lebih taat berbanding lelaki.
Pembangkang perlu bekerja keras untuk memenangi undi wanita. Sebagai permulaan, oleh kerana separuh daripada pengundi adalah wanita, mengapa tidak separuh daripada calun yang bertanding dipilih dikalangan wanita? Nisbah calun wanita masa ini terlalu rendah, tidak seimbang dengan jumlah pengundi. Politik tidak sepatutnya menjadi ‘permainan lelaki’, manakala peranan wanita hanyalah untuk memasak untuk suami mereka. TANGAN YANG MENGHAYUN BUAIAN ITU MAMPU MENGGONCANG DUNIA. Malah, dizaman Nabi Muhammad sendiri, diberitahu bahawa wanita berjuang disamping lelaki didalam peperangan. Kalau Nabi Muhammad sendiri mengiktiraf peranan wanita dan menempatkan wanita dibarisan depan dimedan perang, adakah PAS lebih islam daripada Nabi Muhammad dengan meletakkan wanita disebalik purdah, menyembunyikan mereka dari pandangan umum, dan hanya berperanan sebagai tukang masak ataupun pengasuh anak-anak?
Tidak dinafikan, Pas merupakan jaguh didalam pembangkang. Tanpa PAS, pembangkang tidak akan kemana-mana. Oleh itu, pembangkang tidak mempunyai pilihan tetapi perlu menerima PAS sebagai taiko. Dan Pas, bukan sahaja mesti menerima peranan taiko ini, malah perlu memainkan perananya dengan lebih bermakna.
PAS mesti faham, apa yang baik untuk PAS tidak semestinya baik untuk pembangkang. Oleh itu, PAS perlu mempunyai strategi yang sesuai dengan perjuangan pembangkang, bukan hanya perjuangan sendiri. Sebagai permulaan, PAS perlu bersetuju untuk melancarkan Manifesto Pilihanraya Bersama. Janganlah Manifesto Pilihanraya ini di gubal oleh ustaz ataupun ulamak. Biarlah ianya digubal oleh pakar dan professional dari segenap bidang seperti undang-undang, ekonomi dsb. Jika tidak, apa yang akan kita perolehi hanyalah sekeping kertas akademik berunsur ugama, hanya sesuai untuk bakul sampah. Dan sekiranya PAS tidak bersetuju dengan ini, maka pakatan pembangkang lebih baik ditidurkan dan pengundi perlu diberitahu bahawa setiap parti akan bertanding dengan cara sendiri, tidak kira tiga atau empat penjuru.
Baca contoh ‘Manifesto Pilihanraya Bersama’ yang dicadangkan disini.(http://malaysia-today.net/manifesto.htm). Ini hanyalah idea tentang bagaimana sesuatu itu perlu dilihat dan kemungkinan boleh menjadi asas kepada Manifesto Pilihanraya Bersama yang baru yang akan ditandatangani oleh semua parti pembangkang didalam pakatan pembangkang. Selepas ini, hanya manifesto pilihanraya ini yang akan digunakan dan setiap parti tidak akan mengeluarkan manifesto pilihanraya sendiri yang akan hanya mengelirukan pengundi kerana mereka tidak akan tahu, yang mana satu akan diguna pakai.
Lima juta pengundi akan mengundi parti pemerintah. Tiga juta rakyat langsung tidak berminat untuk mengundi. Empat juta rakyat tak peduli untuk mendaftar. Jumlah keseluruhan: 12 juta orang. Bagaimanakah pembangkang mampu meyakinkan sebahagian daripada 12 juta orang ini untuk mengundi dan seterusnya menambah kepada jumlah tiga juta undi yang diharapkan dalam pilihanraya akan datang? Saya tidak tahu. Kalau saya tahu, saya mungkin menubuhkan parti sendiri dan bertanding dalam pilihanraya akan datang. Okay, walaupun saya tidak tahu bagaimana hendak meyakinkan sebahagian daripada 12 juta orang ini untuk mengundi pembangkang, mungkin saya boleh memberikan idea mengapa mereka tidak akan mengundi pembangkang.
Ramai yang tidak nampak akan adanya satu alternatif kepada kerajaan sedia ada. Pembangkang tidak mampu meyakinkan pengundi tentang keupayaan dan kewibaan pembangkang sebagai parti alternatif. Sudah semestinya, isu Negara Islam merupakan isu yang menakutkan pengundi, terutamanya bukan-Islam, malah ramai orang-orang Islam sendiri menentang idea tersebut. Suka atau tidak, PAS perlu menerimanya. Ia menyakitkan, tanpa diragui, tetapi setiap penyembuhan itu sakit atau sekurangkurangya pahit. Mari kita mulakan dari sini. Jika PAS tidak mahu menimbangkan perkara ini, kejujuranya dipersoalkan. PAS perlu menerima bahawa rakyat Malaysia belum bersedia untuk menerima Negara Islam dan isu ini perlu digugurkan sehinggalah rakyat Malaysia bersedia menerimanya, itu pun kalau mereka boleh bersedia menerimanya. PAS mesti mengisytiharkan secara terbuka, sekiranya mereka memenangi dua pertiga daripada kerusi Parlimen, Pas perlu mengadakan ‘National Referendum’, untuk melihat sama ada rakyat Malaysia mahukan Negara Islam dan sekiranya 75% daripada rakyat Malaysia mengatakan ‘ya’, maka ia boleh dilakukan. Kalau tidak, jangan harap.
Ini boleh meyakinkan para Islamist yang berfikiran bahawa Pas telah meninggalkan perjuangan Islam.Kalau tidak, orang-orang Melayu ini akan beralih kepada UMNO dan pengguguran isu Negara Islam bukan memperkuatkan pembangkang tetapi sebaliknya menyebabkan PAS lemah – dan kita tidak boleh mempunyai taiko yang lemah. Pas, kemudianya, perlu meyakinkan pengundi yang ia memerlukan dua pertiga daripada kerusi Parlimen untuk membolehkanya meminda Perlembagaan Negara dan seterusnya, menjadikan Malaysia – atau pun hanya satu negeri- sebagai Negara Islam. Walaubagaimanapun, Pas hanya bertanding satu pertiga dari jumlah kerusi keseluruhan dan walaupun ia mampu memenangi keseluruhan kerusi yang ditandingi, ia masih lagi satu pertiga. Kebiasaanya, Pas akan memenangi setengah dari kerusi yang ditandingi, oleh itu tidak ada kemungkinan Pas akan mampu meminda Perlembagaan dan menjadikan Malaysia sebuah Negara Islam.
Seterusnya, pembangkang perlu menyenaraikan Kabinet Bayangan kepada rakyat. Pengundi mahu mengetahui siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan dsb. Dan ini juga merangkumi beberapa agensi seperti BPR, SPR, Kehakimam dan seterusnya. Pengundi perlu diyakinkan bahawa mereka ini sebenarnya layak, berpengalaman dan boleh dipercayaai untuk mentadbir negara sekiranya berlaku perubahan pemerintahan.
Sudah pasti, orang-orang ini akan di’telanjangkan’ dan kemungkinan menjadi sasaran kepada tindakbalas kerajaan. Tetapi pengundi tidak mahukan kejutan dan sekiranya mereka ini terlalu takut untuk menghadapi risiko, maka tidak guna mereka mewakili kita didalam kerajaan. 60,000 rakyat Malaysia turun kejalanraya pada 10 November. Sekitar 40,000 mencuba tetapi dihalang untuk berbuat demikian. 30,000 orang turun kejalanraya pada 25 november. Lagi 20,000 mencuba tetapi dihalang untuk berbuat demikian. Kesemua mereka ini bersedia untuk menghadapi risiko. Ramai yang cedera dan ditangkap kerana mengambil risiko. Sudah tiba masanya, mereka yang mahu memimpin kita tidak lagi berselindung sebaliknya tampil kedepan untuk menyatakan pendirian dan menjadi sebahagian daripada kita.
Ya, apa yang disebut diatas hanyalah sebahagian yang perlu diberi perhatian.Yakinlah, banyak lagi yang perlu dilakukan. Tetapi kita perlu melakukanya sekarang . Dan sekiranya kita tidak mampu melakukan sebahagian ini, maka tidak perlu kita bercakap tentang yang lainya.Biarlah janji kita kepada rakyat dilakukan dalam bentuk Manifesto Pilihanraya Bersama yang tidak akan dimungkiri. Kita perlu berjanji kepada rakyat bahawa hanya dokumen ini yang akan menjadi pegangan pembangkang, satu pakatan bersama, dan tidak akan ada lagi dokumen tersembunyi yang akan terkeluar a-la Houdini.
Adakah rakyat mempercayaai anda? Adakah rakyat mempercayaai janji-janji anda? Hey, anda semua adalah ahli politik dan anda semua adalah orang yang akan memerintah negara ini sekiranya diberi mandat untuk berbuat demikian. Oleh itu adalah menjadi tugas anda untuk meyakini rakyat. Tetapi percayalah kepada manusia. Kebiasaanya, rakyat boleh mengesan kejujuran. Dan mereka juga mampu mengesan sama ada anda jujur ataupun berbohong kepada mereka. Dan beritahu kepada rakyat supaya hanya memberikan 60 suara diParlimen dan 200 suara di Dewan Undangan negeri. Dan siapa tahu, sekiranya anda dapat membuktikan anda mampu melakukan tugas dengan sempurna kali ini, dilainkali, mereka boleh memberikan 100 kerusi diParlimen dan 350 kerusi Dewan Undangan Negeri. Menjelang 2020, mungkin mereka memberikan kepercayaan kepada anda untuk memerintah Negara ini. Tetapi kita perlu melihat bagaimana anda menangani isu-isu yang terdekat ini dahulu.
(Artikel ini adalah terjemahan daripada artikel asal, "The hand that rocks the cradle can rock the world" oleh Raja Petra. Sekiranya berlaku kekeliruan, sila rujuk artikel asal.)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment