Siapakah yang pernah menyangka, Abdullah Badawi yang berjanji untuk melakukan perubahan ketika Pilihanraya 2004, tiba-tiba berubah dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara polis, menjelang pilihanraya akan datang?
Penangkapan pemimpin-pemimpin parti politik dan pemimpin masyarakat yang lain (yang hanya mahu menyerahkan petisyen) diParlimen, yang dikepung oleh halangan polis walaupun tiada tanda-tanda berlakunya kekacauan, melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara polis.
Adalah tidak masuk akal untuk mengambil tindakan yang begitu drastik sedangkan tujuanya hanyalah untuk menghantar petisyen meminta Barisan Nasional tidak terlalu gopoh untuk meminda Perlembagaan – Artikel 114 –yang melanjutkan tempoh persaraan Pengerusi SPR dari 65 ke 66 tahun – hanya untuk membenarkan Pengerusi SPR yang pro-BN terus menerajui pilihanraya akan datang.
Pada hari yang sama, 11/12/2007, ibupejabat parti Pas telah dikepung oleh polis untuk menghalang pemimpin parti dari pergi keParlimen untuk menghantar petisyen itu. Negara demokratik manakah yang sanggup melakukan tindakan yang bercanggah dengan prinsip demokrasi dan penyalahgunaan pasukan polis secara terang-terangan? Adalah amat memalukan bagi seorang Perdana Menteri yang hanya beberapa hari lalu memberitahu Asian Wall Street Journal tentang kejayaan demokrasi diMalaysia.
Untuk melihat dengan lebih jelas tentang penyalahgunaan kuasa yang dilakukan dinegara ini, saya akan menyenaraikan beberapa kejadian yang berlaku baru-baru ini.
11/12/2007 – Penangkapan diParlimen dan pengepungan ibu pejabat Pas.
9/12/2007 – Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa. Penahanan Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam Negara kerana menghalang penjawat kerajaan dari menanggalkan sepanduk dibangunan Majlis Peguam. Penangkapan peguam dan aktivis yang berarak secara aman ketika menyambut perayaan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa, sehari selepas Majlis Peguam membatalkan perarakan tahunan mereka disebabkan tekanan dari kerajaan.
9/12/2007 – Sejumlah aktivis, termasuk pemimpin parti pembangkang ditangkap dibeberapa tempat diseluruh negeri kerana menyertai perhimpunan pada 10/11/2007 yang dianjurkan oleh BERSIH – satu pergerakan yang disokong oleh parti-parti pembangkang dan NGO yang meminta pilihanraya yang bebas dan adil.
25/11/2007 – Perhimpunan Hindraf dimana 30,000 orang telah turun kejalanraya untuk memprotes tentang diskriminasi yang dilakukan terhadap kaum India dibawah Dasar ekonomi Baru (DEB). Peserta perhimpunan telah ditindas dengan kejam dimana pancutan air berasid, gas pemedih mata dan penggunaan cota yang dilakukan oleh anggota polis. Berikutnya, 31 orang-orang India telah ditangkap dan didakwa atas tuduhan percubaan membunuh kerana mencederakan seorang anggota polis; dan pemimpin Hindraf – sebuah pergerakan hak orang-orang India- telah ditangkap dan didakwa.
10/11/2007 – Perhimpunan Bersih yang disertai oleh 40,000 orang diKuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong, meminta supaya perubahan dilakukan terhadap system pilihanraya. Peserta perhimpunan dihalang oleh polis dan dikejar oleh FRU menggunakan gas pemedih mata, air berasid dan cota.
Untuk mengelak daripada dituduh menggunakan keganasan melampau, Pak Lah, didalam ucapannya pada 10/11/2007 berkata, “sekiranya pilihan adalah diantara keselamatan awam dan kebebasan awam, saya tidak teragak-agak untuk mengatakan disini bahawa keselamatan awam menjadi pilihan.” Seolah-olah beliau mengatakan bahawa peserta perhimpunan adalah mereka yang melanggar undang-undang yang menggugat keselamatan awam dan beliau menegaskan akan menggunakan ISA sekiranya perlu.
Semua ini adalah pembohongan, apabila tidak ada satu pun bukti yang menunjukkan terdapat niat, perlakuan ataupun senjata yang boleh mencetuskan keganasan dikalangan peserta semasa perhimpunan diadakan. Sebaliknya, peserta perhimpunan ini sepatutnya dipuji kerana menunjukkan disiplin yang cukup baik walaupun mendapat layanan yang kasar dari pihak polis. Tidak ada keganasan, kecuali kejadian diBatu Caves pada pagi 25 /12 apabila sebahagian besar peserta dan penganut Hindu dikepung didalam kawasan kuil dan diserang dengan gas pemedih mata dan pancutan air berasid.
Tentangan dari SUHAKAM
Dalam kenyataan yang dilihat sebagai menyanggah tuduhan liar Perdana Menteri tentang ‘ancaman terhadap keselamatan awam’, Pengerusi SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia), menegaskan,
“Kemungkina terhadap ancaman keselamatan perlu dilihat berdasarkan bukti, bukan spekulasi ataupun imajinasi. Suhakam merasa kesal kerana kerajaan telah tidak mempedulikan gesaan untuk menghapuskan undang-undang yang memerlukan permit untuk perhimpunan awam ataupun perarakan.
DiLondon, anda boleh mengadakan perhimpunan secara aman dan polis akan berkawal untuk menghadapi ancaman keselamatan. Tetapi disini, sesuatu kumpulan itu memerlukan permit walaupun hanya untuk menyerahkan memorandum.
SUHAKAM meminta supaya Seksyen 27 Akta Polis 1967 (yang memerlukan kebenaran polis untuk mengadakan perhimpunan lebih dari tiga orang) dimansuhkan, kerana ia bertentangan dengan Deklarasi Sejagat mengenai Hak Asasi Manusia, dan tidak konsisten dengan semangat Perlembagaan.” (Star, 12 December 2007)
Kenyataan SUHAKAM seterusnya berkata,
“ Pada masa ini, seolah-olah tangkapan dan dakwaan dilakukan secara terpilih dan berat sebelah. SUHAKAM menggesa pihak bertanggungjawab untuk menghormati dan menegakkan undang-undang dan memastikan kesamaan seperti yang termaktub didalam artikel 8, Perlembagaan Persekutuan. Suhakam kesal kerana banyak cadangan tidak diambil perhatian dan ini membantu dalam meningkatkan status hak asasi manusia dinegara kita.” (Malaysiakini 12 December)
Adalah jelas, siapakah penjahat didalam episod yang menjahanamkan hak asasi seseorang itu dan amat memalukan.
Mengapa Pak Lah dan anggota kabinetnya mengambil tindakan kurang ajar yang memalukan Malaysia ini? Saya merasakan terdapat dua sebab.
SATU, Kerajaan Abdulah telah dilanda dengan beberapa skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang besar sejak awal tahun ini. Ini termasuk pembunuhan sensasi seorang rakyat Mongolia yang dikaitkan dengan pemimpin atasan., komisen yang diragui yang mencecah ratusan juta ringgit dibayar untuk pembelian kapal selam dan jet pejuang; penyiasatan serentak tiga pemimpin tertinggi bahagian keselamatan - Ketua Polis Negara, Pengarah BPR dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, perbelanjaan sebanyak RM4.6 billion untuk mencipta ‘Pekan Hantu’ di Port Klang, perbelanjaan sebanyak RM6.75 billion untuk kontrak pembinaan bot peronda yang gagal, laporan Ketua Pengarah Audit yang mendedahkan tentang rasuah yang berjumlah jutaan ringgit yang merangkumi hampir keseluruhan jentera kerajaan, dan yang terbaru, klip video Lingam yang mendedahkan tentang kepincangan badan kehakiman yang paling teruk.
Salah satu skandal diatas, sudah cukup untuk menjatuhkan mana-mana negara demokrasi, tetapi diMalaysia, dengan menggunakan suratkhabar dan TV, isu-isu ini ditutup dari pengetahuan rakyat. Walaubagaimanapun, dengan meningkatnya kririk-kritik yang disuarakan melalui internet, kerajaan semakin terdesak dengan tekanan-tekanan rakyat. Seterusnya, sokongan popular terhadap rejim ini akan merudum apabila rakyat mengetahui tentang ketidakupayaan parti pemerintah untuk memerintah dan rasuah yang bermaharajalela.
Tekanan ekonomi yang disebabkan peningkatan inflasi didalam ekonomi yang tidak berdaya saing akan meningkatkan ketidakpuasan terhadap kepimpinan yang semakin hari dilihat hanya mementingkan kroni dengan menyalahguna DEB untuk kepentingan sendiri. Dasar yang sepatutnya diguna untuk membantu sebaliknya dirampas oleh Umno untuk mengkayakan segelintir elit, kononnya untuk membantu orang Melayu. Penyalahgunaan ini, yang dibuat atas dasar diskriminasi kaum, telah menyebabkan tentangan dikalangan kaum minoriti dan menyebabkan konflik perbedaan kelas kerana perbezaan kekayaan. Untuk terus berkuasa, Umno bergantung harap dengan manipulasi sistem pilihanraya untuk terus menguasai politik negara. Itulah sebabnya, mereka begitu bersungguh-sungguh untuk mempertahankan khidmat Pengerusi yang ada sekarang, Rashid Rahman, sehingga sanggup meminda kontrak sosial yang diasaskan oleh pejuang kemerdekaan kita – ia itu Perlembagaan.
Oleh itu, apabila puluhan ribu rakyat mengugut untuk berhimpun dijalanraya mendesak pilihanraya yang adil dan bebas oleh BERSIH, ataupun protes terhadap peminggiran kaum India oleh Hindraf, Umno mempunyai sebab untuk panik. Bagaimana kiranya jumlah peserta menjangkau ratusan ribu? Bagaimana kalau kebobrokan pemerintah tersebar persis api yang membakar melalui mulut-mulut mereka yang tertindas? Apabila populariti Umno merudum, apakah tidak mungkin berlakunya pergelutan kuasa didalam Umno? Atau adakah Umno akan ditinggalkan oleh rakan-rakan mereka – apabila menyedari yang Umno semakin angkuh, rasis dan dominan dibawah pengaruh menantu Pak Lah yang bercita-cita tinggi – Khairy Jamaludin?
Kesimpulannya, Umno menjadi tidak keruan dan ini boleh diandaikan apabila melihat tindakan-tindakan yang keras dan tidak berperikemanusiaan, untuk menyekat hak rakyat untuk bersuara.
DUA, Pak Lah seolah-olah terpukau dengan keputusan pungutan suara yang dibuat oleh akhbar kepunyaan Umno, New Straits Times, yang memihak kepadanya. Ini dapat dilihat bagaimana Pak Lah begitu bangga dengan keputusan tersebut lantas secara tiba-tiba, menggunakan polis untuk menyekat kemaraan pembangkang.Para penasihat dan pemutarbelit yang telah berjaya memisahkan Pak Lah dengan realiti sebenar, kemungkinan telah meyakinkan beliau bahawa adalah selamat untuk bertindak sekeras mungkin terhadap penentang-penentangnya walaupun bertentangan dengan Perlembagaan, setelah melihat sokongan padu daripada rakyat.
Amaran kepada Pak Lah
Satu amaran untuk Pak Lah disini. Sejak bila pungutan suara didalam negara yang dikongkong seperti Malaysia ini diambil serius? Negara demokrasi seperti Amerika dan Australia yang menjadi contoh demokrasi, boleh bergantung kepada pungutan suara untuk menilai keputusan pilihanraya. Keputusan sebenar hanya berbeza sekitar satu atau dua peratus. Tetapi apakah kita tidak pernah mellihat mengapa pungutan suara jarang-jarang dilakukan dinegara-negara seperti Afrika, Timur tengah, bekas Soviet union dan sebahagian besar Asia? Mudah! Kerana rakyat dinegara-negara ini dikongkong sehingga takut untuk menyuarakan sebenarnya secara terbuka, terutama sekiranya jawapan itu tidak memihak kepada parti pemerintah.
Sama seperti Malaysia,dimana budaya politiknya dicengkam dengan ugutan dan tindakan yang akan diambil, menyebabkan keputusan –keputusan pungutan suara menjadi tidak bermakna. Diatas kesedaran ini, adalah selamat untuk membuat andaian bahawa terdapat perbezaan yang begitu besar diantara keputusan pungutan suara dan realiti, sekiranya pungutan suara itu diadakan.
Satu contoh yang ketara ialah kajian yang dilakukan oleh Merdeka Centre of Opinion Research pada tahun 2004 ketika Pak Lah mendapat kejayaan besar didalam pilihanraya. Walaupun paras popularity pada masa itu ialah 91%, pakatan BN hanya mampu mendapat 64% undi popular. Kalau diunjurkan keparas populariti sekarang, katakan 70%, ini bermakna Pak Lah hanya mendapat 49% daripada undi popular yang memihak BN, satu prospek yang tidak selesa bagi UMNO/BN yang dikatakan kuat dan gagah itu.
Apa pun paras sebenar sokongan popular Pak Lah, adalah wajar untuk menasihat Pak Lah supaya berdiri dipihak yang benar dengan menunaikan sumpah jawatan untuk Negara dan Perlembagaan.Sekiranya sumpah ini dimungkiri, seperti merampas hak-hak rakyat seperti yang berlaku hari ini, ia akan membawa padah kepada dirinya sendiri dan juga partinya tidak lama lagi kerana sesungguhnya kebenaran itu akan datang. Pada masa itu, namanya akan terpalit selama-lamanya.
Artikel ini adalah terjemahan daripada "Where to, Pak Lah" oleh Kim Quek. Artikel sebenar boleh dibaca disini..
Thursday, December 13, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment