Saturday, December 1, 2007

Saya Tidak Setuju Dengan Pemimpin Negara - Dr. Toh Kin Woon


Beberapa perbarisan rakyat yang besar-besar dan bantahan mereka , semuanya secara aman, telah diadakan di negara kita ini sejak beberapa bulan yang baru berlalu.

Majlis Peguam pernah menganjurkan acara “Walk for Justice” (Jalan Kaki Untuk Keamanan). Upacara keamanan ini telah meminta agar diadakan kajian semula yang menyeluruh terhadap sistem kehakiman negara ini dengan hasrat mengembalikan kebebasannya, dan dengan demikian menguatkuasakan perbezaan kuasa yang begitu penting untuk keadilan.

Perbarisan aman para peguam itu telah diikuti dengan perbarisan aman yang dianjurkan oleh BERSIH ke Istana Negara, di mana satu pakatan antara parti-parti politik dan kumpulan NGO mendesak agar diadakan pilihan raya umum yang adil dan bebas. Yang paling terbaru, ialah penyerahan memorandum kepada Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, yang dianjurkan oleh Hindu Rights Action Force ataupun HINDRAF.

Walaupun objektif yang diserlah demonstrasi yang terakhir ini mahukan pampasan daripada kerajaan British kerana mengeksploitasi kaum India, sesungguhnya mereka mahu menyerlahkan nasib mereka daripada sudut sosio-ekonomi dan budaya, terutama sekali di kalangan masyarakat yang hidup melarat.

Semua (demonstrasi ) ini mesti digabungkan pula pelbagai tunjuk perasaan yang pernah dianjurkan oleh kesatuan buruh yang mahukan kenaikan gaji hanya untuk menyelaras kos hidup yang tinggi dan amat membebankan masyarakat pekerja.

Semua perbarisan aman dan tunjuk perasaan, terutamanya yang dianjurkan oleh BERSIH dan HINDRAF telah mendapat sokongan ribuan manusia. Ini terjadi walaupun pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai tidak mengambil bahagian kerana perhimpunan itu kononnya dianggap ‘haram’. Para peserta telah diugut akan ditangkap seandainya mereka ikut serta juga.

Peserta barisan aman ini telah mendapat kutukan dan cacian daripada hampir semua pemimpin Barisan Nasional. Kritikan mereka tertumpu kepada sifat haram perhimpunan itu, dan apa yang disebut kemungkinan ia mengancam keamanan, kemungkinan menjejaskan ekonomi, termasuklah (kononnya) menakutkan pelabur asing. Saya tidak bersetuju sama sekali dengan pendapat para pemimpin negara kita ini.

Dari kita mengutuk, tentulah lebih baik kalau difikirkan apakah segala keperitan, kesengsaraan, kehampaan dan rintihan yang menyebabkan begitu ramai manusia membanjiri jalan raya itu dan bukankah lebih baik kalau dicari jalan bagaimana dapat diselesaikan segala rintihan ribuan manusia itu?

Apakah benar wujud terlalu banyak kepincangan dalam sistem kehakiman negara ini?
Jika demikian, apakah segala kelemahan itu? Apakah yang patut kita laksanakan untuk mengatasi dan mengembalikan kebebasannya, dan menentukan wujudnya pengasingan kuasa dengan tujuan memperkasakan institusi demokrasi negara kita ini?

Demikianlah juga, apakah kepincangan yang wujud dalam sistem pilihan raya negara, khususnya yang ada kaitan dengan daftar pengundi, kempen pilihan raya, kemudahan menggunakan media dan sebagainya? Mengenai Hindraf pula, apakah rintihan mereka, kesengsaraan dan ketidakpuasan kelas bawahan masyarakat India itu dan juga semua masyarakat yang lain, berkaitan dengan perumahan, pendidikan, kesihatan, pekerjaan, kesaksamaan dan kebebasan beragama?

Selagi semua isu berkaitan dengan sistem kehakiman dan sistem pilihan raya negara termasuklah keadilan sosial bagi golongan miskin tidak diteliti dengan serius dan menyelesaikannya secara saksama, rintihan yang telah menyebabkan ribuan manusia membanjiri jalan raya sejak beberapa bulan yang berlalu akan berterusan. Saya berpendapat, rasa tidak puas dan senang hati ini akan menjadi ancaman yang lebih besar kepada keamanan dan kestabilan negara dan bukannya perbarisan jalan kaki, berpiket dan demonstrasi.

Untuk berlaku adil, kerajaan akhirnya telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja meneliti kes Lingam yang mencetuskan peristiwa ketidakpuasan terhadap keadaan sistem kehakiman negara kita. Terma Rujukan siasatan ini akan diwujudkan oleh Suruhanjaya DiRaja itu tidak lama lagi, namun ia masih belum diumumkan. Adalah diharapkan, skop kerja akan mengambil kira siasatan menyeluruh kenapa sistem kehakiman sudah menggelongsor begitu dahsyat sekali sejak beberapa tahun yang telah berlalu.

Sesuatu masyarakat benar-benar demokratik, yang membenarkan perhimpuna
n aman, dengan wujudnya satu sistem kehakiman yang bebas dan adil, di mana wujud pula pilihan raya yang bebas dan saksama, dan wujud pula suasana hormat-menghormati terhadap kepercayaan beragama dan keadilan sosial bagi golongan miskin, antara lainnya merupakan tiang seri kepada demokrasi, keamanan dan stabiliti. Tanpa semua ini, apa juga bentuk tekanan, termasuk ancaman mahu menggunakan akta zalim ISA tidak boleh menjamin keamanan yang berpanjangan dan keselamatan yang amat diingini oleh rakyat Malaysia.

Akhirnya saya merasa amat tidak senang hati dalam kes seorang Anggota MP Barisan Nasional di bangku belakang yang menunjukkan pendirian berbeza menyokong Hindraf telah diberikan cemuhan yang begitu keras oleh segelintir pemimpin BN. Jelas di sini betapa tidak wujud perasaan hormat-menghormati yang berunsur demokrasi di kalangan parti komponen BN.

Mesej yang dihantarkan seolah-olah mengingatkan wakil rakyat BN semua dimestikan mesti tunduk dan akur kepada pandangan para pemimpin mereka sehingga mereka tidak punyai ruang untuk bersuara secara bebas, termasuklah pandangan yang diamalkan oleh masyarakat madani yang lebih besar lagi. Saya terfikir juga betapa besarkah pengaruh para pemimpin ini yang dapat menarik pengaruh rakyat yang mahukan perubahan daripada dalam parti mereka sendiri.

- Dato’ Dr Toh Kin Woon (Gerakan) adalah merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubok, P.Pinang merangkap Exco Perancang Ekonomi, Pendidikan, dan Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi.

No comments: