Ketika negara baru saja menarik nafas lega dengan pemergian Ketua Hakim Negara yang terpalit dengan skandal,, Ahmad Fairuz, kini datang pula seorang lagi calon yang yang diragui yang bakal mengambil tempatnya.
Pengumuman secara mendadak tentang perlantikan Zaki Azmi sebagai orang nombor dua badan kehakiman- sebagai Presiden Mahkamah Rayuan - oleh Perdana Menteri Abdullah Badawi, , pastinya mencetuskan kejutan dan kekecewaan dikalangan yang mengharapkan perubahan didalam badan kehakiman berikutan kengganan Fairuz untuk meletak jawatan.
Lagi pun, Zaki Azmi tidak pernah menjadi hakim ataupun menghakimi sebarang perbicaraan, baik dimahkamah tinggi ataupun mahkamah rayuan, sebaliknya diterjunkan kemahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan, tiga bulan lalu. Belum sempat dia memanaskan bangku sebagai hakim, dia bakal menggantikan Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad lima bulan dari sekarang apabila Abdul Hamid bersara pada bulan April 2008 setelah mencapai umur persaraan 66 tahun. (Kedua-dua perlantikan Abdul Hamid dan Zaki Azmi diumum secara serentak oleh Perdana Menteri pada 5 Disember 2007)
Sebenarnya, ketika Zaki dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada bulan September lalu, beliau serta merta dikenali didalam dan luar negara sebagai seorang yang di’pasang’ dimahkamah tertinggi itu untuk menggantikan Ahmad Fairuz, yang mana permohonan untuk melanjutkan tempohnya selama enam bulan selepas persaraan wajib pada 31 Oktober , ditolak oleh Yang DiPertuan Agong. Zaki sangat dikenali kerana penglibatan aktif beliau didalam UMNO. Dia merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihanraya, Timbalan Pengerusi kepada Badan Disiplin UMNO dan juga sebagai Penasihat Undang-Undang UMNO.
Sebagai Penasihat Undang-Undang UMNO, dia terlibat dengan beberapa skandal kewangan yang melibatkan kerugian yang mana akhirnya terpakasa ditanggung oleh kerajaan semasa zaman Mahathir. Satu contoh yang jelas ialah penipuan pinjaman sebanyak RM3 billion yang dilakukan semasa pengambilalihan Philllipines National Steel Corp (NS) oleh seorang proksi UMNO, Halim Saad. Apabila saham NS jatuh merudum, empat bank utama diMalaysia telah diarahkan untuk menanggung keseluruhan kerugian tersebut. Dan Zaki merupakan Pengarah kepada syarikat yang digunakan dalam pengambilalihan tersebut – Hottick Investment Ltd of Hong Kong – yang meminjam RM3 billion dan seterusnya menguasai NS.
Selain daripada bertindak sebagai wakil UMNO, Zaki juga memegang beberapa jawatan Pengarah didalam beberapa syarikat termasuk beberapa syarikat ternama seperti Berjaya, Metacorp, Pan Global, SP Setia, Malaysia Airports, Hume, Matsushita Electric, Pharmaniaga dsb. Zaki juga telah dilaporkan oleh Bernama pada 21 April 2007, Emrail Sdn. Bhd,(58% saham syarikat dipegang oleh Zaki), merupakan sebuah syarikat yang pakar didalam keretapi, hanya mempunyai satu pelanggan, iaitu kerajaan. Dan dia dikatakan bekerja kuat untuk memastikan kontrak membina landasan berkembar diutara dan selatan semenanjung diperolehi.
Seorang yang mempunyai latarbelakang perniagaan dan politik, menyebabkan beliau bukanlah seorang calon yang sesuai untuk dilantik kemana-mana jawatan kehakiman. Zaki juga mempuyai satu lagi kelemahan- berkenaan kewibaan moral beliau yang tercetus melalui kontroversi perkahwinan dan perceraian dengan isteri keduanya, Nor Hayati Yahaya, yang berusia separuh dari usianya.
Zaki mengahwini Nor Hayati didalam satu istiadat perkahwinan yang dijalankan oleh seorang kadi dari Thailand disebuah kedai pakaian diPerlis pada March 2005. Mereka berpisah tiga bulan kemudian. Dalam proses perceraian yang berikutnya, Zaki dikatakan telah membakar surat nikah yang asli untuk menyembunyikan perkara ini daripada isteri pertamanya. Tambahan pula, perkahwinan itu telah diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah syariah.
Berikutan pendedahan masalah perkahwinan ini, Zaki telah meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Disiplin UMNO, yang mana beliau berkata “Memandangkan ahli badan disiplin ini adalah mereka yang berwibawa, maka saya membuat keputusan untuk meletak jawatan berikutan laporan media…” (New Straits Times, 9 Ogos 2005).
Soalan yang perlu kita tanya sekarang ialah: Jika secara moralnya Zaki tidak layak untuk menduduki badan disiplin UMNO, bagaimana beliau boleh dipertimbangkan untuk menduduki kerusi hakim mahkamah persekutuan? Itu belum lagi diperkatakan tentang kenaikan beliau yang mendadak sehingga menjadi orang no. 2 , dan sudah pastinya menjadi orang No. 1 dalam badan kehakiman.
Apakah Negara begitu miskin dengan mereka yang mempunyai kebolehan dan kewibaan didalam undang-undang? Apakah kita tidak mempunyai pilihan sehinggakan terpaksa melantik seorang yang begitu jelas tidak mempunyai kewibaan untuk memegang jawatan kehakiman, berdasarkan penglibatan dan kepentingan beliau? Kalau tidak, mengapakah Perdana Menteri bertindak demikian? Kalau bukan untuk menjaga kepentingan Perdana Menteri dan UMNO, tujuan apa lagi?
Kita telah menyaksikan klip video Lingam yang masyhur itu, tentang bagaimana Ketua Hakim mengkhianati sumpah perlantikan jawatan dengan tunduk kepada kepentingan politik dan perniagaan, dan seterusnya mengesahkan tentang apa yang kita tahu dan dengar tentang kehancuran kewibawaan badan kehakiman. Dikala Perdana Menteri dan kabinetnya masih lagi berdolak dalik mengenai penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat Skandal Lingam sejak tiga bulan lalu, kini kita dihidangkan pula dengan satu lagi kejahatan UMNO – pertabalan seorang jaguh UMNO kejawatan tertinggi badan kehakiman.
Walaubagaimanapun, ditengah-tengah kekecewaan dengan tindak-tanduk terbaru UMNO ini, kita mendapati sesuatu yang tidak kena dengan pengummuman Perdana Menteri mengenai perlantikan kedua-dua mereka ini. Walaupun PM mengatakan bahawa perlantikan ini telah dipersetujui oleh YDP Agong diatas nasihat PM, dan mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, tidak ada tarikh tertentu ditetapkan dengan perlantikan Zaki Azmi sementara perlantikan Hamid ditetapkan pada 1 November, iaitu hari beliau memulakan kerja sebagai Pemangku Ketua Hakim. Juga tiada tarikh yang ditetapkan untuk menyerahkan surat perlantikan. Sekiranya tarikh-tarikh ini belum ditetapkan, mengapakah PM terburu-buru mengumumkannya?
Umum mengetahui bagaimana YDP Agong dan Majlis Raja-Raja sebelum ini telah menolak calon-calon yang dirasakan tidak sesuai untuk mengisi kekosongan Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya, dan juga menolak permohonan Ahmad Fairuz untuk melanjutkan tempohnya sebagai Ketua Hakim Negara. Oleh itu, kegopohan Abdullah ketika mengumumkan perkenan YDP Agong, terutamanya tentang perlantikan Zaki Azmi yang kontroversi, mengejutkan ramai orang. Apakah benar YDP Agong merestui perlantikan Zaki Azmi? Kalau benar, mengapakah tarikh perlantikan itu tidak diputuskan bersama-sama dengan perlantikan Abdul Hamid? Ataupun terdapat masalah dalam mendapat perkenan YDP Agong?
Walau apapun yang dikaitkan dengan perlantikan Zaki Azmi,adalah wajar kita mengambil iktibar dengan pandangan yang dlontarkan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah, mengenai tanggapan tentang kebebasan kehakiman, seperti yang di ucapkan dimasa Persidangan Undang-Undang Malaysia ke14 pada 29 Oktober 2007.
Raja Azlan Shah, salah seorang Ketua Hakim Negara yang terkenal, mengatakan bahawa badan kehakiman akan kehilangan nilai dan khidmatnya kepada masyarakat sekiranya masyarakat tidak mempunyai keyakinan didalam keputusan yang dibuat. Dan prinsip utama didalam penghakiman ialah kebebasan, yang mana mempunyai dua perkara; kebebasan hakiki dan kebebasan luaran. Diantara kedua-dua ini, kebebasan luaran lebih bermakna.
Mengambil iktibar dari pemerhatian ini, perlantikan Zaki adalah bencana yang tidak diundang. Walaupun sekiranya Zaki mempunyai kemampuan luarbiasa untuk memutuskan semua perhubungannya dengan parti pemerintah dan semua kepentingannya didalam perniagaan, adalah sukar baginya untuk mengelak tanggapan umum. Dengan latarbelakang yang diragui, tidak ada cara baginya untuk memperolehi keyakinan masyarakat, terutamanya apabila kepentingan UMNO dan perniagaannya terlibat.
Ketika Malaysia semakin kehilangan daya saing, ditambah pula dengan imej kehakiman yang semakin teruk, percubaan untuk merampas kebebasan badan kehakiman dengan meletakkan jagoan parti, akan membawa kehancuran kepada negara ini. Malah , dizaman Mahathir yang terkenal dengan kediktatoranya, beliau mengelak untuk melakukan sedemikian.
Mengetahui keyakinan dan keangkuhan UMNO dalam penguasaan politik, kita tidak fikir perkara ini diserahkan kepada rakyat. Oleh itu, kami merayu kepada YDP agong dan Majlis Raja-Raja supaya menggunakan pengaruh dan kuasa yang terdapat didalam Perlembagaan untuk memelihara badan kehakiman kita dari dimusnahkan, seperti yang telah dilakukan baru-baru ini.
Berita berkaitan: Lawyer takes 'second wife' to court
Zaki's appointment: No saving grace for the judiciary
(Artikel ini adalah terjemahan daripada artikel asal "Malaysian Judiciary: from one nightmare to another" oleh Kim Quek. Sekiranya terdapat kekeliruan, sila rujuk keartikel asal, disini....)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment